Najib Berpuas Hati Dengan WIEF

Kejayaan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadi pencetus kepada undi keyakinan terhadap kepimpinan beliau untuk menerajui pembangunan kewangan dan ekonomi Islam global.

Najib, penerima Anugerah Kepimpinan Islam Global merupakan ‘orang paling dikehendaki’ bagi membantu membangunkan lagi landskap kewangan Islam global di masa depan.

Najib berada di sini bagi rangka lawatan kerja tiga hari beliau bersempena dengan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-10 yang berakhir hari ini.

“Dunia Islam mengiktiraf Malaysia sebagai perintis dan peneraju dunia dalam pembangunan kewangan Islam.

“Mereka meminta kita membantu dalam latihan,” katanya.

Najib mengambil peluang itu untuk mempromosikan kewangan Islam Malaysia walaupun umum telah mengetahui bahawa pasaran sukuk negara merupakan yang terbesar di dunia.

Perdana Menteri memberitahu forum itu bahawa dalam separuh pertama 2014, Malaysia menyumbang 63 peratus daripada jumlah penerbitan sukuk global dan kekal sebagai satu-satunya pasaran yang memiliki sukuk global bernilai lebih US$100 bilion.

Selepas forum itu, Najib menyaksikan pengumuman penyelesaian kemudahan Islam bersindiket bernilai £467 juta bagi Battersea Phase 3 Holding Co Ltd.

Kemudahan itu merupakan urus niaga pembiayaan Islam terbesar di UK.

Sementara itu, saranan beliau tentang perkongsian inovatif dalam pendidikan telah dilihat sebagai satu ‘langkah wajar’.

“Ia disambut baik. Mereka menyatakan ia langkah yang wajar. Kekurangan pendidikan merupakan halangan kepada pembangunan ekonomi dan kewangan banyak negara Islam,” katanya kepada media Malaysia semasa merumuskan lawatan kerja beliau di sini.

Penaung Yayasan WIEF itu membuat saranan tersebut semasa memberi ucapan kepada kira-kira 2,700 orang yang menghadiri majlis pembukaan forum itu.

Menurut beliau, perkongsian itu perlu bermula daripada pendidikan kerana ia penting bagi pertumbuhan ekonomi.

Najib berpuas hati dengan WIEF tahun ini kerana ia hampir ‘sama’ dari segi kehadiran berbanding edisi tahun lepas yang diadakan di London, bandar raya pertama di luar dunia Islam.

Forum tahun ini yang bertemakan “Perkongsian Inovatif bagi Pertumbuhan Ekonomi”, diadakan di Madinat Jumeirah.

Ia menarik kehadiran kira-kira 2,790 peserta, berbanding hanya 400 semasa kali pertama diadakan di Kuala Lumpur 10 tahun lalu.

Forum itu dihadiri sembilan pemimpin, 12 menteri, empat gabenor bank pusat, 181 penggiat utama dan delegasi dari lebih 100 negara.

Menurut Najib, 29 topik utama dibincangkan semasa forum tiga hari itu yang bermula pada Selasa.

“Pengecualian unsur-unsur politik boleh menjadi kunci kejayaan WIEF. WIFE juga merupakan penghubung bagi orang Islam kepada ekonomi bukan Islam,” katanya.

Najib mendedahkan bahawa Korea Selatan telah melahirkan hasrat untuk menganjurkan WIEF edisi ke-13 selepas Malaysia tahun depan dan Indonesia tahun 2016.

Elemen lain kejayaan WIEF kemungkinan adalah keterbukaan WIEF kepada negara Islam yang kecil dan miskin, katanya.

Forum tahun ini juga dihadiri oleh Perdana Menteri Timor Leste Ray Kala Xanana Gusmao dan Naib Presiden Seychelles Danny Faure.

WIEF juga memberi penekanan dalam membangunkan tiga elemen asas — wanita, belia dan pendidikan — bagi pertumbuhan ekonomi mana-mana negara.

Bagi dekad seterusnya, beliau berkata Waqf, Halal dan keseluruhan aktiviti ekonomi Islam harus menjadi agenda utama.

“Satu pasukan petugas khas bagi Waqf akan ditubuhkan. Perbincangan akan diadakan dan keputusannya akan diusulkan kepada WIEF,” katanya.

Sebelum bertemu dengan panel penasihat antarabangsa WIEF dan rakan kongsi strategik WIEF, Najib juga melancarkan zilzar.com, platform eko-perdagangan halal pertama dunia.

“Zilzar.com boleh menjadi seperti sama seperti Alibaba di pasaran China, bagi pasaran Islam yang bernilai US$2.5 trilion,” katanya semasa pelancaran itu.

Beliau juga melahirkan penghargaannya kepada kerajaan UAE di atas kejayaan penganjuran WIEF.

Perdana Menteri membuat kunjungan hormat kepada Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri UAE dan juga Pemerintah Dubai.

Beliau juga membuat kunjungan hormat kepada Sheikh Hamdan Rashid Al Maktoum, Menteri Kewangan UAE dan Timbalan Pengarah Dubai di Zabeel Palace.

Kunjungannya itu adalah atas jemputan Sheikh Mohammed dan sebagai membalas penghormatan itu beliau menjemput Sheikh Mohammed melawat Malaysia.

Najib yang juga menteri kewangan yakin perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan UAE akan terus mengukuh di tahun-tahun akan datang.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan UAE pada 2013 berjumlah US$8.81 bilion, peningkatan 11.7 peratus dari 2012 manakala jumlah eksport meningkat kepada US$4.02 bilion, dan import mencecah US$4.78 bilion.

Najib bertemu dengan pelabur UAE semasa mesyuarat meja bulat dan menyifatkannya sebagai ‘sangat berjaya’.

Beliau menyenaraikan kerjasama yang berjaya dengan syarikat UAE, antaranya, Aabar Investments PJS dengan 1MDB dalam projek Tun Razak Exchange yang bernilai US$5.5 bilion

Kerjasama lain termasuklah Oilfields Supply Center Ltd, yang bekerjasama dengan Johor Corp untuk membangunkan Pelabuhan Tanjung Langsat, projek yang dijangka menyaksikan pelaburan berjumlah lebih US$300 juta.

Lulu Group yang beribu pejabat di UAE akan membuka 12 pasar raya besar halal di Malaysia secara berperingkat dengan pelaburan awal bagi setiap pasar raya berjumlah kira-kira US$30 juta hingga US$40 juta.

Najib menyaksikan pertukaran 12 memorandum persefahaman (MOU), termasuk antara Securities and Commodities Authority UAE dengan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti Malaysia.

MOU lain ialah antara United Malayan Land Bhd dan Medini Iskandar Malaysia sempena selesainya pembelian pajakan oleh United Malaysia yang dibeli di Daerah Perniagaan (Zon B) Medini Iskandar Malaysia.

Semasa mengunjungi Malaysian Agrofood Festival dan Majlis Bersama Rakyat, Najib mengumumkan pembukaan Agro bazaar di Dubai yang dijangka memulakan perniagaan pada suku ketiga tahun depan.

WIEF dianjurkan oleh Yayasan WIEF secara kerjasama dengan Dubai Chamber of Commerce and Industry.

Najib, yang tiba di sini pada Ahad melawat UAE buat kali kedua selepas mengunjungi ibu kota Abu Dhabi itu pada Mei.


Kredit: The Rakyat Pos

Kes liwat II: Keluarga Anwar Positifkan Diri Hadapi Tekanan

PUTRAJAYA: Anak lelaki kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau perlu berfikiran positif dan terus memberikan sokongan kepada bapanya, yang disabit bersalah dalam kes liwat II, oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
 
Mohd Ihsan Anwar yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) untuk menghadiri prosiding perbicaraan bapanya itu memberitahu selagi mahkamah belum memutuskan sama ada bapanya dibebas atau dipenjarakan, perjuangan menuntut keadilan perlu diteruskan.
 
"Kita optimistik dan perjuangan harus diteruskan.
 
"Saya rasa kita harus positif," katanya selepas berakhirnya prosiding hari ketiga kes liwat bapanya itu, pada Khamis.
 
Sementara itu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah mengakui timbul rasa bimbang apabila memikirkan tentang nasib Anwar.
 
"Kami sekeluarga memang takut bila memikirkan tentang pemenjaraan.
 
"Yang penting kita berdoa dan bermunajat, mereka rancang rancangan jahat tapi kita percaya perancangan Allah adalah perancangan yang terbaik," katanya.
 
Ahli Parlimen itu berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong bapanya petang Khamis.
 
"Walaupun kami gundah gulana dan risau tapi kehadiran anda semua memberikan kami semangat untuk terus berjuang," katanya.
 
Hakim Mahkamah Persektuan, Tun Ariffin Zakaria memutuskan prosiding perbicaraan itu akan dilanjutkan sehingga Isnin depan.

Kredit: Antara Pos

Kes liwat II: Bersambung Esok

PUTRAJAYA: Kes liwat II Datuk Seri Anwar disambung esok selepas Ketua Pendakwaraya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta hakim menangguhkan perbicaraan yang masuk hari ketiga, hari ini.
 
Hakim Mahkamah Persektuan, Tun Ariffin Zakaria kemudiannya memutuskan prosiding perbicaraan itu akan dilanjutkan sehingga Isnin depan.
 
Perkembangan itu menyaksikan tempoh perbicaraan kes melibatkan Anwar ini dilanjutkan daripada hanya dua hari kepada lima hari, setakat ini.
 
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui media di hadapan Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman, berkata beliau menjangkakan pasukan pendakwaraya mampu menjawab kesemua keterangan dibangkitkan peguambela dalam rayuan kes liwatnya.
 
Bagaimanapun, jawapan itu tidak lebih daripada sekadar kenyataan politik semata-mata.
 
Katanya, ini kerana pasukan peguambela yang mewakilinya sudah memberikan perincian hujah yang kukuh.
 
"Saya fikir apa pun boleh dijawab, termasuk cadangan Peguam Negara dan pendakwa raya untuk tambah hukuman, tetapi ini semua (jawapan yang bakal diberi hanya) kenyataan politik jijik kerana keterangan yang dibawa ke mahkamah itu terlalu kukuh.
 
"Saya cukup yakin mana-mana mahkamah yang ikut undang-undang serta patuh kepada prinsip keadilan tidak mungkin akan membuat keputusan disebaliknya," katanya.
 
Prosiding perbicaraan hari ini menyaksikan pihak pembelaan fokus kepada kehadiran sampel DNA ketiga milik 'lelaki Y' dalam dubur Saiful.
 
Pihaknya juga mendakwa sampel yang dirujuk dalam kes itu dicemari malah cuba untuk menimbulkan keraguan pada bahan bukti yang ada.
 
Prosiding mahkamah hari ketiga ini menyaksikan bilangan penyokong Anwar dan Saiful berkurangan secara mendadak, berbanding semalam.
 
Media semalam melaporkan jumlah kehadiran penyokong kedua-dua pihak itu masing-masing mencecah 500 orang.
 
Namun tinjauan Antarapos hari ini menyaksikan hanya lebih 100 penyokong Anwar yang hadir manakala penyokong Saiful pula hampir tidak kelihatan.
 
Abang dan adik kepada Anwar, Idrus Ibrahim, 71, dan Rehan Ibrahim, 64, juga dilihat hadir memberi sokongan kepadanya.
 
Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir adalah AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar; ADUN Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen Sg. Petani, Datuk Johari Abdul dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
 
Kredit: Antara Pos